>> CERPEN:DENDAM

“KAU yang bongsu,jadi kau patut jaga mak..” Habibah mengusulkan.

“Aku tak kisah kak,tapi mana boleh semua nak serah bulat-bulat pada aku.Ini mak kita bersama.Mengapa aku seorang sahaja perlu bertanggungjawab..” Rafi  memprotes.

“Jadi kau mahu merungutlah?Dengan Adik-beradik pun nak berkira sangat.” Ujar Dinna pula.

“Bukan macam tu kak,aku takut mak tak selesa…rumah aku kecil.Lagipun, mak tu dah biasa tinggal di rumah lamanya..kenapa nak pindah-pindah pula.Kau pun tahu kan kak,mak kita tu bukannya sama macam orang lain.Dia bukannya boleh hidup dalam masyarakat.” Terang Rafi akan duduk perkara sebenarnya.

“Kau ni,kan.Jaga sahajalah mak tu.Tentang duit tu…nanti kami kirimkanlah tiap-tiap bulan.Kami pun tahu kau tu bukannya berduit sangat.Setakat kerja macam kamu tu..berapa  sangatlah gajinya.” Ujar Ramli pula.

“Kenapa tak biarkan sahaja mak duduk rumah kakak,bukan dulu kakak yang beria-ia sangat nak jualkan rumah mak tu? Kakak kata,kakak nak mak tinggal dengan kakak.Sekarang mengapa pulak kakak serahkan mak pada aku?” Rafi tahu kakak-kakaknya itu telah berkomplot.Semua tanggungjawab dibebankan kepadanya seorang.

“Suami aku tak suka duduk dengan orang gila.Lagipun,dia takut nanti bahayakan keselamatan anak-anak dia..”Ujar Habibah.

“Amboi senangnya kakak cakap..habis dulu kenapa kakak pandai-pandai pergi jual rumah mak tu?”Rafi geram dengan perangai kakaknya yang suka bercakap tak serupa bikin itu.Bercakap ikut sedap mulut,tak guna akal langsung untuk berfikir !

“Apa susahnya sangat Rafi,kau tu adik bongsu.Kau yang paling muda..Jaga sajalah mak tu.Kami ni selalu sibuk.Masing-masing suami isteri bekerja.Bini kau tu bukannya kerja pun.Suruhlah dia jaga mak tu..” Laju sahaja mulut Dinna berkata kepadanya.

“ Hai kak,engkau kan artis,duit berlambak-lambak.Mengapa kau tak ambil saja
  orang gaji untuk jaga mak?” Perli Rafi.

“Aku tak boleh nak ajak mak duduk dengan aku.Kau gila? Nak suruh peminat-peminat aku tahu,yang mak penyanyi popular Malaysia seorang pesakit jiwa, macam tu?” Balas Dinna pula.

“Kau pulak ,Ramli?.Kenapa kau tak boleh jaga mak?” Ujar Rafi.

“Aku usahawan berjaya.Bini aku anak orang kaya.Lagi pun kau kan tahu,selama ni aku tinggal dengan ibubapa mertua aku.Takkan aku nak bawa mak duduk sekali dengan aku?.Apa pula kata orang tua kat rumah tu nanti?”Ujar Ramli pula.

“Kau orang memang pentingkan diri sendiri!” Ujar Rafi.

“Baik,kalau tak ada siapa nak jaga..kita hantar sahaja ke rumah orang-orang tua..” Ramli mengusulkan pula.

“Jangan..”Habibah melarang.

Rafi menarik nafas lega.Sekurang-kurangnya Habibah masih mempunyai perasaan. Fikirnya.Tak tergamak membiarkan ibu sendiri terbiar kesepian.Seketika kemudian kedengaran Habibah menyambung perbualan..

“Tak boleh hantar mak ke rumah orang-orang tua.Mak tu sakit.Bukan normal macam orang biasa..”

“Kalau macam tu,hantar sahaja ke hospital bahagia,Tanjung Rambutan kan ada?” Cadang Ramli pula.

Rafi mengucap panjang.Tak sangka sejauh itu kakak-kakak dan abang-abangnya itu berfikir.Dia ingatkan Habibah melarang,walhal menyokong pula cadangan Ramli itu.

“Tak boleh!” Dinna mencelah tiba-tiba.

“Kenapa?” Giliran Habibah pula bertanya.

“Nanti peminat aku tahu,macam mana?Matilah aku..!” Dinna garu kepala.

“Sudah,sudah! Jangan nak buat cadangan mengarut-ngarut.Biar aku sahaja yang jaga mak kalau kau orang tak mahu.”Rafi mengalah.Dia tak mahu kakak-kakak dan abangnya bertengkar lagi.

“Baiklah.kalau dah sepakat setuju macam tu, kita bersurailah.”Ramli tersenyum lega. Habibah dan Dinna juga begitu.Terlepas dari tanggungjawab mereka.Beban itu telah dicampakkan semuanya kepada Rafi.

     Rafi geleng kepala.Memang kakak-kakak dan abangnya itu sengaja mahu lepas tangan. Cadangan berdegar-degar,tapi akhirnya ..dia yang menjadi mangsa.Kononnya, dulu kakaknya  Habibah itu beria-ia mahu menjaga ibunya.Sanggup pula mahu menjual rumah orang tua itu.Kini,bila orang tua itu sudah tak ada tempat berteduh,dicampakkannya sahaja kepadanya.Rafi tidak tahu bagaimana hendak diterangkan kepada isterinya itu nanti.

“Rita,abang ada perkara nak bincangkan.”Ujar Rafi.

Ada apa bang?” Tanya Rita.Dari raut wajah suaminya itu,dia tahu ada suatu perkara serius yang ingin dibincangkannya.

“Begini,mak akan tinggal dengan kita..”Ujar Rafi.

“Mak?.Mak abang?” Jelas Rita terperanjat.Seingatnya dahulu,kakak iparnya yang beria-ia mahu menjaga ibu mertuanya itu.

“Ya,Rita.Mereka suruh mak tinggal dengan kita.” Terang Rafi lagi.

“Tapi Rita takut.." Ujar Rita berterus terang.

   Rita masih ingat sewaktu mereka mula-mula tinggal bersama ibu mertuanya itu dahulu.Dia yang sering tinggal berseorangan bersama dengan ibu mertuanya itu selalu dilanda ketakutan.Masakan tidak,siapa yang tidak takut tinggal bersama dengan orang gila? Pernah orang tua itu mengamuk menyebut perkataan-perkataan yang menakutkan terhadapnya. Kadang-kala,dia akan tertawa sendiri berdekah-dekah,tersengih,tersenyum dan kadang-kala pula dia menangis.

   Dia selalu memikirkan yang bukan-bukan ,sekiranya orang tua itu tiba-tiba naik angin,mencapai pisau atau gunting,menyembelihnya hidup-hidup?Tambah lagi ketika itu anak-anaknya masih kecil.Bagaimana dia hendak cabut lari kiranya orang tua itu mencapai parang lalu melibas mereka tiga beranak? Mahu dikendongnya anak-anaknya yang seramai dua orang itu? Lari bertempiaranlah mereka.Dia betul-betul serik.Cukuplah setahun dahulu dia hidup diselubungi ketakutan.Dia trauma!

“Bang,Rita serik dah duduk dengan mak masa kita muda dulu.” Ujar Rita.Bukan niatnya untuk sengaja mengada-ngada.Tapi dia memang benar-benar takut.Dia tak sanggup lagi untuk memikirkannya.

“Abang sendiri pun tak dapat nak buat apa-apa ,Rita.”

     Lebih tiga bulan ibunya tiggal bersama mereka.Bermakna sudah lebih tiga bulan jugalah isterinya Rita memendam rasa.Rita masih trauma.Bimbang sesuatu yang buruk akan terjadi pada keluarganya,Rafi menghubungi Habibah.Dia mahu rumah ibunya itu dipulangkan kembali.Ibunya berhak untuk hidup tenang di rumahnya sendiri.Dia sendiri sedar,ibunya itu tidak betah tinggal di rumahnya yang kecil dan sempit itu.

“Assalamualaikum,kak Bibah.Rafi ni.”Ujar Rafi.

“Ha,ada apa kau telefon ni Rafi?" Balas Habibah. Dihujung talian.

“Begini kak.Aku tak boleh biar mak duduk dengan aku lagi..Isteri dan anak-anak aku hari-hari ketakutan.”Ujar Rafi pula.

“Habis,kau nak suruh aku buat apa,RAFI?”

“Kau pulangkan rumah mak balik,kak.Biar mak hidup tenang di situ.” Usul Rafi.

“Tak boleh!” Ujar Habibah.

“Kenpa pulak tidak?” Tanya Rafi.

“Rumah tu aku dah jual!” Balas Habibah pula.

“Ya Allah kak,mengapa kau jual rumah tu…habis mana mak nak pergi sekarang?” Ujar Rafi lagi.Dia tak sangka kakaknya bertindak sejauh itu.

“Okeylah-okeylah.Biar aku pula yang jaga mak.Esok pagi-pagi kau hantar saja mak ke rumah aku.” Akhirnya Habibah mengalah.Mungkin dia sedar dia yang bersalah dalam hal itu.

Hari berlalu begitu pantas.Bulan berganti bulan,tahun berganti tahun.HariRaya Qurban hampir tiba.Persiapan untuk perayaan bagi keluarga Rafi serba sederhana.Telefon di ruang tamu bedering berkali-kali.Anak bongsu Rafi yang berumur enam tahun mencapai ganggang telefon.

“Ello,arr..ni Fiya..a..bah?" Fiya menjawab telefon.

“Abah..tok telepon..iyer nak akap engan a..bahh!!” Fiya memanggil abahnya .

    Rafi bergegas menyambut ganggang.Pasti ada hal penting.Fikirnya.Jika tidak,masakan ayahnya akan menelefon ke rumahnya itu.Entah apa tujuan orang tua itu menelefonnya agaknya.Seperti yang dijangka!Dia dipanggil pulang ke kampung.Ada hal mustahak hendak dibincangkan katanya.Rafi termenung..Dia teringat kisah lama…

“Kau ni,hantar pergi sekolah,malas belajar..ponteng sekolah,kau lepak dengan kawan-kawan..apa nak jadi ni, ha?” Haji Dali melibas ranting pokok itu ke punggung anak lelakinya berkali-kali..

“Ampun ayah,ampun..!!”Jerit Rafi.

“Cakap cepat,kau nak buat lagi tak..cakappp!!”Jerkah Haji Dali.

“Tak ayah,Rafi janji tak buat lagi…” Air matanya berlinangan.

“Jangan buat dah lepas ni.” Tubuhnya dipukul lagi.Rafi menahan kesakitan.

     Dari jauh ,dia nampak kakak-kakak tirinya terkekek ketawa melihat dia dipukul ayahnya. Rafi diam tak berkuit di bawah pohon Rambutan di halaman rumahnya itu.Dia di denda berdiri di situ selama satu jam.Dia tak akan dapat makan malam kerana kesalahannya itu.Rafi terlalu letih dan lapar sehingga tertidur semalaman di bawah pokok rambutan itu.

    Esoknya,pagi-pagi lagi selepas subuh dia dikerah ke kebun getah bersama Haji Dali sedang adik-adik lelaki tirinya yang lain nyenyak tidur di bilik masing-masing.Rafi pulang dari kebun tatkala mentari mencanak tegak di atas kepala.Selepas membersihkan diri,dia ke dapur untuk menjamah nasi.Sebaik sahaja tudung saji dibuka, kelihatan lauk yang enak-enak terhidang di bawahnya.Belum sempat pun Rafi mencapai ikan goreng di dalam pinggan,tiga orang adik lelakinya itu terlebih dahulu berebut-rebut mendapatkannya.

     Rafi hanya memandang hambar.Kakak-kakak tirinya pula hanya melihat tanpa berkata apa-apa.Sekelip mata lauk-pauk yang dihidang licin dikerjakan mereka.Haji Dali dan Hajah Rehan muncul seketika kemudian.Sebaik sahaja melihat ibubapanya,pandai pula adik-beradik tirinya itu cepat-cepat beredar ke dapur bersama pinggan makan masing-masing.

“Eh,mana perginya lauk pauk tadi?” Hajah Rehan merasa hairan.

“Licin semuanya?” Ujar Haji Dali pula.

“Kau yang habiskan semua lauk-lauk ni ya,Rafi?” Tanya Hajjah Rehan pula.

“Tak mak An.Ramli, Meor dan Adib yang makan.Kak Bibah dengan kak Dinna pun makan tadi..” Rafi menerangkan.

“Eh,jangan nak cakap kami pulak,kau yang makan semua lauk tu tadi..” Ujar Bibah berbohong.

“Yelah,mak.Dia makan tak ingat dunia.Habis licin dikerjakannya." Tambah Dinna pula.

“Tapi..tadi..akak dengan abang yang makan semua." Rafi membela diri.

“Mana ada,kami ambil sikit sahaja.Rafi yang makan banyak sebab semalam tak makan. Lapar sangat agaknya.” Ramli pula berbohong.

“Tapi.." Belum sempat Rafi membelas Hajjah Rehan sudah memotong cakapnya.

“Oh..jadi kau nak kata anak-anak aku berbohonglah, ya? Amboi-amboi..dah buat salah tak mahu mengaku..”  Ibu tirinya yang dipanggil Mak An itu bertindak kasar.Telinganya dipulas kuat.Ayahnya,Haji Dali hanya diam,tak menghalang dan tidak pula melarang.

“Ayah,Rafi tak bohong..Rafi tak makan pun semua lauk tu..” Rafi berkata lagi.Berharap agar ayahnya akan percaya dengan kata-katanya.

Pangg!!! Satu tamparan hinggap di pipinya.Berjuraian air mata Rafi.Langsung tak disangka ayahnya juga tidak percaya dengan kata-katanya.Dia kecewa.Rupanya selama ini ,dia tidak ada tempat di rumah ini.Dia hanya menumpang di rumah ayahnya sendiri!

“Bang,kenapa termenung ni..?” Tegur isterinya Rita.Dia segera tersedar dari lamunannya.

“Eh,tak ada apa,Rita.Tadi ayah telefon.Dia suruh kita balik kampung esok.Ada perkara yang hendak dibincangkan katanya.

“Perkara apa,bang?” Soal Rita pula.

“Entahlah,abang pun tak tahu.”

       Rafi masih ingat,sewaktu umurnya lima belas tahun,kakak–kakak kandungnya seramai dua orang itu sudah tidak lagi tinggal bersama keluarga tiri mereka di kampung.Keduanya telah berkahwin dan mengikut suami masing-masing.Abangnya pula melanjutkan pelajaran ke luar negara setelah tamat tingkatan enam.Hanya dia yang tinggal bersama keluarga tirinya itu dan sering menjadi mangsa buli mereka.

     Tak lama selepas itu,dia mengambil keputusan untuk membawa diri ke bandar untuk membina hidup sendiri.Ditakdirkan tuhan dia mendapat kerja atas usaha kerasnya dan hidup bahagia.Biarpun tak banyak harta,dia dan isterinya berjaya membesarkan anak-anaknya seramai tiga orang itu dengan sempurna.Rafi bersyukur,biarpun dahulu hidupnya derita,dia dapat membuktikan dia boleh hidup berdikari sendiri.Hasil titik peluhnya kini, dia boleh berbangga dengan pencapaiannya.

“Begini.Kita nak buat pembahagian tanah.Tujuan ayah panggil kamu balik ni,untuk membincangkan perkara ini.” Ujar Haji Dali.

“Kita dah sepakat nak letak nama adik-adik kamu yang lain.Kamu setuju?” Usul Hajjah Rehan.

“Saya tak kisah.Mana yang baik saya ikut saja.” Rafi malas hendak memikirkannya.Baik bagi kedua orang tuanya itu,baik jugalah baginya.

“Kalau macam tu baguslah.” Hajjah Rehan tersenyum simpul.

      Perkara itu diserahkan bulat-bulat kepada orang tuanya.Dia malas hendak ambil pusing. Soal tanah dan harta pusaka itu,dia tak inginkannya langsung.Berilah sahaja kepada adik-beradik tirinya yang lain.Tapi dia tak tahu bagaimana pula pandangan saudara kandungnya yang seramai tiga orang itu.Rafi tak mahu ambil peduli langsung.Terpulanglah kepada mereka semua.Dia sudah ada harta hasil titik peluhnya sendiri.Biarpun tak banyak,cukuplah untuk mereka lima beranak.

     Pagi Subuh dingin menjelma lagi dalam ingatan.Rafi dikerah ke kebun getah tanpa bekalan.Pulang dari kebun,di terkejar-kejar ke sekolah..Berbekalkan duit sepuluh sen yang ayahnya berikan, apalah sangat yang mampu dibelinya.Pulang dari sekolah,dia terpaksa pula bekerja di kedai.Hidupnya tak ubah seperti hamba abdi.Makan minum dicatu,pakaian pun setahun sekali baru berganti.Padahal harta ayahnya berlambak-lambak itu entah ke mana dibelanjakannya.

“Rafi,mari sini!!” Pekik ibu tirinya itu.

“Pergi carikan aku kayu api banyak-banyak.Jangan balik selagi kau tak kumpulkan semuanya.Letak dekat bangsal belakang rumah tu.Kalau tak,jangan harap kau nak makan petang ini!” Terdengar jeritan ibu tirinya itu.

“Tapi mak An,Rafi kena pergi sekolah.Dah lambat dah ni Mak An..” Jawab Rafi.

“Aku kat pergi cari kayu api.Ada aku suruh pergi sekolah ke?.Kau tu pergi sekolah pun bukannya belajar.Kalau dah otak lembab tu ,buat apa nak pergi sekolah..!” Marah Hajjah Rehan padanya.

“Tapi Mak An..”Terang Rafi lagi.

“Dah,kau dengar tak apa aku cakap?” Hajjah Rehan sudah menyinga.

“Baik mak An..” Rafi segera melakukan apa yang disuruh ibu tirinya itu.

     Ketika Rafi sampai di bangsal belakang rumah,hujan renyai-renyai sedang turun.Kayu api yang diangkatnya segera di letakkan di bawah bangsal.Jika  kayu terkena air hujan, susahlah api hendak dihidupkan.Pasti mak An akan mengamuk lagi nanti.Rafi melangkah lesu ke dalam rumah.Ketika itu dia dapat melihat ayahnya sedang mengambil angin di anjung rumah.Sebaik ternampak Rafi ,matanya terus membulat.

“Kau ponteng sekolah lagi,ya Rafi?” Haji Dali mula naik angin.

“Mak An suruh Dafi cari kayu api.Mak An tak bagi Rafi pergi sekolah..” Ujar Rafi berterus-terang.

“Kau jangan nak menipu!” Terus Dipegangnya tali pinggang yang terikat di pinggangnya. Dilibasnya Rafi dengan tali pinggang itu.Menjerit-jerit Rafi meminta agar tidak dipukul ayahnya lagi.

“Ayah,Rafi tak bohong ,Rafi bercakap benar..Jangan pukul Rafi lagi,yah.Rafi tak bersalah”. Rayu Rafi lagi.

Rayuan Rafi tidak diendahkan Haji Dali.Dia seolah histeria.Tubuh Rafi dipukul bertalu-talu tanpa belas kasihan.Berjejeran air mata yang mengalir di wajah Rafi langsung tidak dapat memancing simpatinya.Adik-adik tirinya yang seramai tiga orang itu hanya menjadi penonton.Hajjah Rehan juga.Langsung tiada rasa bersalah yang bersarang di hatinya.

“Abang termenung lagi?” Tegur Rita.Dia merasa hairan.Sejak akhir-akhir ini,suaminya itu selalu sahaja termenung.Entah apa yang dimenungkannya,Rita sendiri tidak tahu.

“Err…Rita.Abang tak sedar tadi..” Ujarnya

“Rita dah buatkan jemput-jemput kesukaan abng ,boleh kita minum petang bersama-sama.” Ujar isterinya itu.

Kuih jemput-jemput kesukaan dihidangkan bersama secawan teh.Anak-ananya seramai tiga orang itu bermain di halaman rumah.Rafi memanggil mereka untuk minum bersama. Kicauan beburung dan tiupan angin lembut menenangkan jiwa.Pancuran air di sisi laman menambahkan aroma segar .

Telefon tiba-tiba berdering di ruang tamu.Bergegas isterinya berkejar mendapatkannya. Bimbang terputus pula panggilan itu.

“Abang,Mak  An di kampung telefon.” Ujar Isterinya.

“Apa yang dia mahu?” Ujar Rafi endah tak endah.

“Ayah sakit bang..dia hendak sangat berjumpa dengan abang.." Ujar Rita pula.

“Abang takkan balik!” Tegasnya.

“Kenapa bang? Tak baik diingat kisah lama.." Pujuk isterinya itu.Dia tahu tentang kisah hidup suaminya itu.

“Dia memang tak pernah pedulikan abang sejak kecil lagi.Buat apa dia nak menyibuk sekarang.Dah tua,dah nak mati..baru nak ingat anak-anak..!” Jelas  terdapat dendam yang membuak-buak tersimpan di dalam dadanya.

“Tak baik berdendam, bang,mungkin ada hal yang nak dicakapkan ayah…kita jumpa ayah ya,bang…Jangan nanti kemudian hari abang menyesal.." Pujuk isterinya lagi.

   Rafi diam.Dia tidak membalas kata-kata isterinya itu.Dia tak kuasa hendak berbalah kerana perkara itu.Orang tua itu memang langsung tak pernah pedulikan anak-anak kandungnya seramai empat orang itu.Anak kera dihutan disusukan,anak sendiri dibiar mati kelaparan. Sanggup dia melebih-lebihkan anak tirinya sedang anak kandungnya dibiar hidup menderita.Biar dia diazab api neraka!.

      Ibu tirinya yang dipanggil Mak An itu,tidak pernah melayannya selayaknya.Dia dijadikan hamba abdi oleh keluarga sendiri.Masakan dia dapat memaafkan mereka?.Sudahlah nasibnya tidak pernah terbela, terumbang-ambing sendiri membawa diri mengharungi onak-duri di tengah lautan  kota. Tanpa sanak dan saudara.Sendirian,kesepian,kesedihan sering menjadi peneman.Malah, nasib ibu kandungnya lebih malang.Terbiar tanpa kasih sayang seorang suami.Terpisah dari anak-anaknya..Akhirnya menjadi gila!

Kedua orang tua itu memang kejam!Selayaknya mereka di neraka Hutomah.Neraka untuk  orang-orang yang zalim seperti mereka.Rafi tidak dapat memaafkan keduanya.Tidak!





2 comments:

  1. Ala.. Cam xde kesudahan...
    Nak tau, kenapa bapa rafi panggil balik??
    Mak rafi skrg duduk ngn kakak dia la ye??
    Cerpen nie ohsem sangat..

    BalasPadam
  2. Thanks sudi baca.cepren ni diinspirasikan dari kisah sebenar..

    BalasPadam