>> CERPEN:KEHILANGAN

    PUAN Marina mengeluh.Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul.Sebagai pengetua dirumah anak-anak yatim Darul Falah,dia amat faham akan perasaan Amirah.Baru seminggu dia kehilangan keluarga yang selama ini menjadi tempatnya bergantung.Amirah mungkin mengambil masa yang panjang untuk pulih dari trauma yang dialaminya.

Kehilangan tempat bergantung merupakan satu tamparan hebat buat remaja yang sedang membesar seperti Amirah.Ahli keluarganya yang lain terbunuh dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan sewaktu mereka dalam perjalanan pulang dari bercuti ke Langkawi. Kereta yang dinaiki oleh mereka sekeluarga telah bertembung dengan sebuah bas persiaran lalu melanggar pembahagi jalan dan terbabas ke seberang jalan.




Hanya Amirah yang terselamat dalam kemalangan tersebut.Papa dan adik lelakinya meninggal ditempat kejadian.Manakala mamanya sempat  dibawa ke hospital tetapi malangnya dia tidak dapat diselamatkan dan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital.Akibat daripada peristiwa tersebut ,Amirah mengalami trauma yang panjang.

Kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata merupakan satu pengalaman pahit yang sukar untuk dilupakan.Dia masih teringatkan peristiwa itu,jeritan adik lelakinya serta suara papanya yang melaungkan takbir tatkala kenderaan yang dinaiki oleh mereka sekeluarga hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan.

Kehilangan.Amirah masih belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran barunya. Lenanya sering dihantui mimpi ngeri kesan dari peristiwa hitam itu.Amirah menjadi hamba kenangan.Hidupnya tidak seindah dahulu.Tiada sesiapa yang mahu hidup sebatang kara ibarat sebuah perahu yang terumbang ambing di dada lautan. 



Amirah tidak pernah mengimpikan sesuatu yang lain selain daripada mahukan keluarganya kembali ke pangkuannya.Dia tidak dapat menerima hakikat bahawa dia kini tiada tempat untuk mengadu.Tiada tempat untuk bermanjadan bergurau senda seperti dahulu.

“Saya kehilangan..” Ujar Amirah tenang.

“Teruskan..Amirah.Cikgu masih mendengar apa yang ingin kamu ceritakan.” Cikgu Balkis terus memberikan pujukan kepada Amirah untuk meluahkan segala yang terbuku di hatinya.

“Ibubapa saya telah menghadap Ilahi.Saya tiada arah.Saya kehilangan diri saya.Saya kehilangan semangat.Saya hilang kekuatan.” Terang Amirah lagi.

“Kuatkan semangat Amirah.Kami semua di sisi kamu.Cikgu sentiasa bersama kamu jika kamu perlukan bantuan.” Guru kaunseling itu terus memberikan secebis harapan buatnya.

“Pengetua di rumah anak-anak yatim itu pun cakap mengenai perkara yang sama.Cikgu tidak faham.Tiada sesiapa yang faham.Cikgu tidak berada di tempat saya.Cikgu tidak dapat merasakan apa yang saya rasa.” Suaranya semakin meninggi.

“Cikgu faham, Amirah.Kamu harus belajar menerima hakikat.Kamu harus percaya kepada Qada’ dan Qadar dari-NYA.” Cikgu Balkis tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat.

“Qada’ dan Qadar?.Mengapa Qada’ dan Qadar –NYA tidak adil terhadap saya?.Mengapa saya yang harus menerima semua ini,cikgu?Dapatkah cikgu menjelaskan kepada saya supaya saya dapat faham dengan sejelas-jelasnya mengenai Qada’ dan Qadar ini?”Amirah semakin mendesak.

“Amirah..Beristighfarlah.Banyakkan bersabar.Tuhan sedang menguji kamu.Dia menyayangimu.” Ujar cikgu Balkis memujuk.Dia percaya hati Amirah mampu dilembutkan.

”Cikgu bohong,cikgu tipu!” Amirah menjerit-jerit seolah diserang hysteria.Dia terpaksa  ditenangkan oleh beberapa orang pelajar yang kebetulan berada di situ.

TANGGAL 31 Ogos merupakan tarikh yang dinanti-nantikan oleh setia p warganegara Malaysia.Tarikh yang merakamkan detik kemerdekaan Malaysia itu akan menyaksikan sambutan yang gilang-gemilang dan meriah oleh seluruh rakyatnya.Detik dua belas malam menjadi saat paling dinantikan oleh para remaja seperti Amirah untuk bergembira sempena dengan kemunculan tahun baru.



Amirah dan rakan-rakannya tidak ketinggalan untuk bersama meraikan sambutan tahun baru di Dataran Merdeka.Amirah terjebak ke dalam dunia yang penuh dengan kepalsuan. Amirah bergaul dengan geng-geng rempit ,terjebak dengan rokok dan penagihan dadah.

Amirah benar-benar telah kehilangan.Maruah tergadai, iman terlerai.Dia hilang pegangan agama,hilang akhlak, hilang budi bahasa, hilang agama.Amirah hilang arah.Kapalnya tiada nakhoda.Layarnya patah dirempuh angin kencang.Kasihan Amirah.Selepas dijaga oleh keluarga angkat,perangainya semakin liar.

Ibu dan bapa angkat yang pada mulanya menjanjikan kehidupan yang baik untuknya telah berubah dan mensia-siakan dirinya setelah mendapat cahaya mata.Kasih sayang mereka terhadapnya mula berbelah bahagi dan akhirnya dia diabaikan.Amirah akhirnya melarikan diri dari rumah itu.

Empat,tiga, dua…satu!!.Begitulah laungan kemerdekaan yang kedengaran di Dataran Merdeka pada detik dua belas malam.Kedengaran sorakan kegembiraan anak-anak muda yang berkumpul untuk meraikan kemunculan tahun baru.Tahun baru bererti semakin meningkatnya usia,tahun baru juga bererti masa untuk memperbaiki diri.

Masa untuk merubah yang buruk menjadi baik dan yang baik menjadi bertambah baik.Namun kebanyakan remaja hanyut dalam dunia ciptaan mereka sendiri.Sambutan tahun baru yang sepatutnya disambut dengan doa selamat dan doa bersempena kedatangan tahun baru telah digantikan dengan sambutan di disko dan pub.Lalu bergelumanglah mereka dengan najis dadah,arak, dan pelacuran.

Malam 31 Ogos itu sekali lagi dia telah kehilangan.Amirah telah ditangkap oleh pihak berkuasa yang membuat serbuan di sebuah pub kerana disyaki mengambil dadah jenis Estacy dan di bawah umur.Amirah dihantar ke pusat pemulihan akhlak.Kebebasannya sekaligus diragut.Sepanjang berada di pusat pemulihan akhlak,ibubapa angkatnya sekalipun tidak pernah melawatnya.

Mujurlah Amirah mempunyai ramai rakan yang senasib dengan dirinya.Sekurang-kurangnya dia tidak kesunyian.Sewaktu bersendirian,air matanya tiba-tiba gugur.Dia sangat rindukan keluarganya.Lantas mengimbau kembali tragedi yang meragut nyawa seluruh ahli keluarganya empat tahun yang lalu.

PAGI itu,pada seawal jam enam pagi Amirah sekeluarga bertolak dari Langkawi untuk pulang ke rumahnya yang terletak di Kuala Lumpur.Masing-masing kegembiraan setelah mengalami detik percutian yang menyeronokkan.Papa Amirah yang memandu kenderaan ketika itu manakala mamanya duduk disebelah bahagian pemandu.

Amirah dan adik lelakinya yang berusia dua tahun ketika itu  duduk di bahagian belakang. Sepanjang perjalanan mereka bercerita mengenai percutian yang telah mereka alami.Jalan raya ketika itu masih lengang memandangkan waktu masih pagi.Adik lelaki Amirah tertidur dalam perjalanan.

Tiba di perhentian Pedas-Linggi.mereka sekeluarga berhenti rehat dan menikmati sarapan pagi di sana.Papa dan mamanya sempat membeli buah –buahan segar untuk dimakan sewaktu di dalam perjalanan.Adik lelakinya merengek meminta ais krim.Setelah itu, mereka kembali menyambung perjalanan pulang.

Sesekali papanya menguap .Mamanya yang duduk disebelah menegur papanya dan menyuruhnya lebih berhati-hati disepanjang perjalanan.Papanya terus menumpukan perhatian pada perjalanan.Amirah bernyanyi kecil kerana kegembiraan.

Disangka panas sampai ke petang ,rupanya hujan di tengahari.Sewaktu melewati kawasan rehat Genting Sempah,kereta yang dipandu oleh bapanya telah bertembung dengan sebuah bas persiaran.Amirah yang terlena ketika itu terus terjaga apabila dikejutkan oleh bunyi dentuman yang kuat.Terasa kepala berdarah kerana terhantuk.

Dia terus tidak sedarkan diri hinggalah pagi itu, apabila dia mendapati dirinya terlantar di atas katil hospital.Dia mencari-cari kelibat ibu,ayah dan adik lelakinya namun hampa.Amirah cuba untuk bangun tetapi dilarang oleh jururawat yang bertugas.Dia diberi suntikan penenang dan tertidur…

Berita mengenai kematian kedua ibubapa merupakan tamparan hebat boat Amirah apatah lagi setelah mengetahui yang adik lelakinya juga tidak dapat diselamatkan.Dia mengalami trauma yang panjang akibat daripada peristiwa itu.Setelah sembuh daripada kecederaannya, Amirah dihantar ke rumah anak-anak yatim memandangkan dia tidak mempunyai saudara mara terdekat. 

Ibunya anak yatim piatu.Bapanya pula dibuang keluarga setelah menolak menantu pilihan neneknya.Amirah diberi rawatan Psikologi untuk memulihkannya daripada trauma yang dialami .Namun peristiwa itu telah meninggalkan parut luka paling dalam di hatinya.

Hari ibu akan menjelma menjelang beberapa hari sahaja lagi.Amirah begitu merindui mamanya.Rakan-rakannya yang turut sama ditahan di pusat pemulihan itu masing-masing telah menyediakan hadiah buat ibu tercinta.Amirah tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya tatkala melihatkan persediaan yang dibuat oleh rakan-rakannya untuk menyambut hari ibu bersama ibu masing-masing.Dia benar-benar merasai erti sebuah kehilangan.

Dia juga merindui ibu angkat yang telah menjaganya selama lima tahun lalu namun, rindunya tidak berbalas.Amirah menitiskan air  mata atas nama sebuah kehilangan…
Ketika ditemubual oleh seorang wartawan majalah hiburan, Amirah tertawa berdekah-dekah apabila diajukan soalan samaada dia menyesal dengan jalan yang telah dipilihnya.Amirah dengan selamba membalas bahawa dia tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku terhadap dirinya.

      Amirah menyatakan bahawa dia lebih bahagia dan gembira dengan laluan hidupnya.Sesekali wartawan itu cuba memujuknya untuk menceritakan tentang kisah silamnya namun Amirah tetap mahu merahsiakannya.Amirah tertawa lagi apabila wartawan itu bertanya tentang desas-desus mengenai skandalnya dengan seorang VVIP.

 Wartawan yang bernama Azman Noor itu seolah tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima olehnya.Raut wajah Amirah yang kelihatan tenang itu jelas menyembunyikan segala duka yang pernah menyelubunginya.Wartawan itu seakan dapat melihat ada genangan air mata yang bertakung di tubir mata gadis itu.

     Matanya seolah menyimpan rahsia sebuah kisah lara yang telah bertahun-tahun membelenggu dirinya.Dia tahu, gadis itu kesunyian.Segalanya dapat dibaca melalui sepasang mata bundar miliknya.Wajah tenangnya seolah menyembunyikan kesengsaraan jiwanya.Gadis itu sebenarnya menderita.Dia harus dibantu segera!

“Sudahlah.Sampai di sini sahaja temubual ini.” Ujar Amirah yang sudah mula beragak-agak untuk bangun dan meninggalkan tempat itu.

“Nanti saudari.Bagaimanakah caranya untuk saya menghubungi saudari?” Soal wartawan bernama Azman Noor itu.

“Hubungi saya?.Untuk apa?” Balas Amirah dalam nada mengejek.

“Maksud saya,sekiranya saya memerlukan apa-apa maklumat atau cerita tambahan daripada saudari.” Balasnya gugup.

“Telefon sahaja nombor saya.Bukankah awak sudah ada nombornya?” Soal Amirah kembali.

“Oh,ya.Iya.Saya terlupa.” Dia berterus-terang.

“Baiklah.Saya pergi dahulu.” Amirah berlalu meninggalkan tempat itu.

  Wartawan yang baru setahun jagung itu nampaknya begitu beria-ia benar ingin mencungkil rahsia hidupnya.Entah apa yang menarik mengenai dirinya sehingga wartawan yang bernama Azman Noor itu sering cuba untuk mendekatinya.Biarpun telah berkali-kali Amirah cuba untuk menjauhkan diri ,wartawan yang pernah mewawancaranya mengenai isu skandalnya dengan seorang VVIP yang sudah berkeluarga itu terus mengejarnya.

  Amirah dikatakan menjadi punca keretakan rumahtangga VVIP tersebut .Amira sebenarnya bukanlah seorang artis ataupun seorang tokoh yang wajar dibanggakan.Dia cuma seorang setiausaha peribadi di sebuah syarikat milik tokoh korporat yang berjaya di Malaysia.Tentang skandalnya dengan VVIP tersebut,Amirah tidak menyalahkan orang ramai mengenai berita yang tersebar luas itu.




   VVIP tersebut memang sering memberikan layanan istemewa terhadapnya malahan mereka pernah beberapa kali keluar bersama.Maka tidak hairanlah seandainya timbul khabar angin mengenai status sebenar perhubungan mereka.Datuk M memang terlalu mengambil berat terhadap dirinya.Sejak bekerja dengannya jarang sekali Amirah diberikan tugas berat. 

      Perkenalan mereka bermula di sebuah kelab malam  apabila Amirah bersama rakannya kebetulan ditugaskan untuk menemani Datuk M dan rakan-rakan niaganya minum.Datuk M mula menunjukkan minat terhadapnya dan mempelawanya bekerja di syarikat miliknya. Pada mulanya Amirah tidak berminat namun setelah dipujuk oleh Datuk M ,Amirah akhirnya bersetuju dengan tawaran tersebut.

    Datuk M tahu mengenai semua kisah hidupnya dan melahirkan rasa simpati terhadap dirinya.Datuk M tahu Amirah pernah beberapa kali keluar masuk penjara dan pusat pemulihan.Datuk M juga tahu Amirah pernah bekerja di kelab malam, pernah mencuri demi sesuap nasi ,juga pernah bergaul dengan gangster, mat rempit dan bohsia.Selepas ditangkap dalam serbuan malam 31 Ogos dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak, Amirah ditahan selama dua tahun disitu sehingga dibebaskan semula.

 Dia kemudianya bergaul dengan kumpulan gangster sebelum ditangkap kembali dan ditahan di pusat pemulihan akhlak selama empat tahun.Setelah dibebaskan, dia bekerja  sebagai penyanyi dan pelayan di sebuah bar.Kemudian dia ditahan dalam sebuah serbuan oleh pihak polis dan selepas didapati positif dadah, dia ditahan dipenjara selama enam tahun.Kemudian dia dibebaskan sebelum ditangkap semula kerana terlibat dalam kes samun dan seluk saku.

  Selepas keluar masuk penjara selama beberapa tahun di atas pelbagai kesalahan akhirnya di dipertemukan dengan Datuk M yang membawa sinar baru dalam hidupnya. Datuk M telah membuka jalan baru dalam hidupnya.Sebenarnya dia amat berterima kasih kepada datuk M.Hubungan mereka semakin akrab daripada majikan dan pekerja kepada sahabat baik dan hinggalah ke teman tidur.

 Isteri datuk M yang juga merupakan seorang artis kerapkali dijolok oleh wartawan mengenai isu skandal di antara suaminya dengan Amirah.Amirah tidak tahu dalam diam datuk M sememangkan telah lama merancang strategi dan menunggu peluang!Kisah Datuk M dan Amirah semakin disensasikan oleh pelbagai majalah hiburan dan akhbar tempatan. 

   Oleh kerana kedudukan Datuk M yang dipandang tinggi oleh anggota masyarakat dan kebetulan isterinya pula adalah golongan seni, maka seringkali berita mengenai kehidupan mereka menjadi tumpuan media.Berita mengenai dirinya yang digelar sebagai seorang perosak rumahtangga dipaparkan di muka hadapan sebuah majalah hiburan benar-benar telah menggugat kesabarnnya.Namanya yang dirujuk sebagai lady ‘R’ iaitu diambil bersempena pangkal namanya.

'Siapakah Lady’ R’ dalam hidup Datuk M?'

       Begitulah tajuk sebuah artikel yang menceritakan mengenai skandal antara Amirah dan Datuk M.Lady R merujuk kepada Riana.Nama yang dipilih oleh Datuk M beberapa tahun lalu sewaktu Amirah menukar identitinya.Riana Zakaria adalah jelmaan baru dalam fasa kehidupan Amirah bt Abdul rahman.Riana Zakaria adalah seorang gadis yang pasti dikagumi oleh ramai gadis kerana kejayaannyadan pasti dicemburui oleh ramai gadis kerana kemewahan,kecantikan dan kebijaksanaan yang dimilikinya.

 Tiada sesiapa yang akan menegtahui bahawa Riana adalah Amirah.Riana adalah gadis yang sentiasa akan diingati bukan seperti Amirah yang telah dilupai ,telah hilang ditelan bumi.Amirah mahu melupakan Amirah yang pernah hadir dalam hidupnya.Kini,dia adalah Riana Zakaria.Amirah terlupa sesuatu.Dia boleh mengubah nama,rupa ,gaya dan identitinya tetapi tidak boleh mengubah dirinya.

  Dia tetap Amirah.Gadis yang pernah kehilangan kedua ibubapanya dalam kemalngan ngeri,gadis yang pernah beberapa kali keluar masuk penjara dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak.Dia hilang dan masih belum menemui semula dirinya hingga kini.

“Saya kehilangan…” Ujar Amirah.

    Kali ini, bukan pengetua rumah anak-anak yatim yang berada dihadapannya.Bukan cikgu kaunselingnya yang bernama cikgu Balkis itu.Bukan ibu dan bapa angkatnya.Bukan Encik Hamdan, pengetua di pusat pemulihan akhlak itu dan bukan jua Datuk M.Di hadapannya adalah Azman Noor,wartawan dari sebuah majalah hiburan yang pernah menemu ramahnya suatu ketika dahulu.Wartawan itu jugalah yang sering cuba untuk mendekatinya secara peribadi tanpa diketahui tujuannya.

    Azman Noor sedang tekun mendengar bicara daripada Amirah.Dia tahu, bila-bila masa sahaja daripada sekarang Amirah akan meluahkan segala yang tersimpan dalam lipatan sejarahnya.

“Dia telah meniunggalkan saya…Dia takkan kembali lagi.” Ujar Amirah lagi.

“Sabarlah cik Riana..” Pujuk Azman Noor.

“Saya telah kehilangan segala-galanya..” Amirah menitiskan air mata.Esaknya semakin meninggi.

“Saya faham perasaan cik Riana..” Wartawan muda itu menghulurkan sehelai tisu kepadnya.

“Dia telah pergi..dia tinggalkan saya sendirian..Mengapa begini jadinya?” Amirah menangis lagi.Air matanya semakin deras mengalir menuruni pipinya.

“Cik Riana,bawa bertenang.Setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya..” Azman Noor cuba menenangkan perasaannya.

“Tetapi bukan untuk saya! Setiap yang berlaku pada saya tak pernah ada hikmahnya”. Amirah berlalu meninggalkan wartawan bernama Azman Noor itu terpinga-pingga berseorangan di kafe itu.

    Sudah tiga bulan Azman Noor tidak dapat menjejaki Amirah.Selepas peristiwa di kafe Salju Cinta itu, baying Amirah tidak lagi kelihatan.Azman Noor mencarinya di pejabat tetapi Amirah tiada di situ.Panggilan telefonnya juga tidak pernah dijawab.Rumahnya berkunci. Amirah telah menghilangkan diri.Tetapi ke manakah Amirah membawa diri? Wartawan muda itu tidak mahu berputus asa.Dia cuba mendapatkan maklumat mengenai Amirah melalui teman-teman Amirah dan rakan sekerjanya.

    Malangnya tidak seorang pun tahu di manakah Amirah berada.Sejak pengumuman secara rasmi yang dibuat oleh Datuk M mengenai penafian hubungannya dengan Amirah di dalam sebuah rancangan di televisyen dipaparkan, Amirah telah membawa diri.Sewaktu hatinya mula menyulam benih-benih cinta yang dicurah Datuk M kepadanya,Datuk M telah memilih untuk meninggalkannya dengan alasan dia masih sayangkan keluarga dan rumahtangganya.Amirah kehilangan tempat berteduh.Kasihnya diracuni.Begitu mudah Datuk M meninggalkannya setelah mendapat apa yang diingininya.Habis madu sepahnya dibuang!

PAGI Jumaat yang cerah, di sebelah terminal bas Puduraya,kelihatan susuk tubuh seorang manusia terbaring lesu di atas lantai yang tidak beralas.Ditangannya kelihatan sebuah beg plastik berwarna merah yang dipeluk erat,rapat ke dadanya.Pakaiannya lusuh dan comot. Azman Noor tergerak hati untuk menghampiri tubuh itu.Susuk tubuh tersebut adalah milik seorang wanita.

    Wanita itu pantas menjauh tatkala menyedari dia dihampiri.Alangkah terperanjatnya wartawan muda itu apabila mengamati wajah comot ituDia adalah Riana!.Wajahnya cengkung, matanya seolah bergenang dengan air mata.Menyimpan kisah duka seorang gadis bernama Amirah.

“Riana …kenapa kau jadi begini?” Ujar wartawan bernama Azman Noor itu.Dia benar-benar simpati terhadap nasib wanita itu.

“Saya kehilangan..” Ujar wanita itu sambil membelai-belai hujung rambutnya yang kusut masai.

  Amirah kemudiannya bingkas bangun dan menghentak-hentakkan kakinya seolah seorang kanak-kanak yang memberontak apabila kehendaknya tidak dipenuhi.Tiba-tiba dia tersenyum ke arahnya dan tersengih menampakkan barisan giginya yang putih itu.Dia ketawa berdekah-dekah.

   Entah apa yang kelihatan lucu dimatanya.Tiba-tiba pula dia menangis teresak-esak.Dia kemudiaannya berjalan tanpa arah tujuan sambil menjinjit beg plastik berwarna merah yang mengandungi gambar-gambar insan yang pernah disayanginya.Wajahnya diselubungi kesedihan.Dia terluka dan tersiksa.Batinnya menderita.

   Azman Noor memerhatikan tingkah laku Amirah yang dikenalinya sebagai Riana itu.Dia merasa amat kasihan kepadanya.Dia menjadi mangsa keaadaan.Dia adalah insan lemah yang lemas dalam dunia yang dipilihnya.Tiada sesiapa yang benar-benar ikhlas membantunya sehingga memaksanya memilih jalan yang salah lalau mensasarkannya dari landasan iman.Terngiang-ngiang di telinganya suara sayu milik Amirah@Riana tiga bulan lalu sewaktu mereka bertemu di kafe Salju Cinta.

“Saya kehilangan…”




by:

0 comments:

Catat Ulasan