>> CERPEN: ANGSANA


          Bunga-bunga Angsana berguguran ditiup angin lalu berteraburan di dada bumi. Titisan embun dihujung rumput yang menghijau menandakan  sang suria baru sahaja menjelma menerangi alam maya.Saujana mata memandang.Di sebuah bangku di bawah rimbunan Pohon Angsana kelihatan sepasang kekasih sedang duduk berduaan melayar rasa.


                                                               
          Suasana di sekeliling yang hiruk-pikuk langsung tidak dapat mengganggu kemesraan yang ditunjukkan oleh pasangan tersebut.Tatkala pelajar lain sedang sibuk mengejar masa untuk menghadiri kuliah dan tutorial,Rezza dan Munirah seolah tidak dapat berganjak dari situ.Keputusan yang dibuat oleh Rezza kali ini ternyata tidak dapat diterima oleh akal fikiran Munirah!

            Rezza nekad.Itulah keputusannya sebulat hati.Munirah harus menerimanya.Biar apa pun yang terjadi,dia tidak akan merubahnya.Dia mahu Munirah belajar memberi.,bukan hanya menerima. Persahabatan mereka telah mula terjalin sejak lima tahun yang lalu dan semakin mekar mengharum.Ketika itu,keduanya masih belajar dalam tingkatan lima .

      Bapa Rezza adalah seorang pensyarah di jabatan yang sama dengan ibu Munirah iaitu Kejuruteraan Elektrik.Ibu Rezza adalah seorang guru manakala ibu Munirah pula seorang doktor di hospital kerajaan.Sepanjang hidup berjiran,keluarga Rezza dan Munirah amat rapat sehinggalah Rezza terpaksa berpindah setelah ibu dan bapanya berpisah.

          Selepas itu, Munirah dan Rezza sudah tidak bertemu sehinggalah waktu yang mempertemukan mereka kembali di puncak menara gading.Di puncak inilah persahabatan mereka kembali terjalin. Bersama-sama mendaki tangga kejayaan dan susah senang bersama.Munirah adalah mahasiswi Kejuruteraan Awam manakala Rezza pula pelajar Kerujuteraan Mekanikal.

Biarpun lelah mengejar masa untuk mengikuti kuliah,namun mereka sering berjumpa di waktu senggang.Kadang-kala,Rezza tidak kisah untuk menemani Munirah ke perpustakaan untuk mengulangkaji ,malah Munirah juga tidak menolak tatkala Rezza mengajaknya ke makmal Mekanikal untuk menyiapkan projek amalinya.Seringkali jua Munirah turut sama bergelumang dengan minyak hitam kerana membantu Rezza.

           Munirah seperti terbayang-bayang wajah Rezza yang sedang tersenyum kepadanya tatkala dia sedang tekun mengulangkaji pelajaran di perpustakaan.Gurauan dan gelak tawa Rezza seolah bergema di ruangan itu saat ini.Munirah cuba mencari kelibat Rezza di sebalik rak-rak buku.Ternyata hampa.

Kebiasaanya,Rezza amat rajin menghadiahkannya dengan kad-kad comel yang dihiasi dengan puisi romantis dan penuh dengan kata-kata semangat.Rezza akan menyelitkan kad ucapan itu disebalik helaian muka surat bukunya tatkala dia sedang ke tandas atau ke rak berhampiran untuk mendapatkan bahan rujukan tambahan.Munirah nampak Rezza sedang mengintainya dari celah-celah rak buku yang berhampiran.

         Tanggal 25 Ogos,petang Khamis yang damai.Rezza memberitahu hasratnya untuk pulang ke Terengganu bagi menziarahi neneknya.Munirah menyatakan niatnya untuk mengikut Rezza pulang tetapi dilarang keras olehnya.Munirah merajuk dan cuba menjauhi lelaki itu sepanjang hari.Rezza tidak pula memujuknya malah seolah sengaja membiarkan dia dengan rajuknya sendiri.

Tengahari itu.Rezza keluar bersama rakan-rakannya.Langsung dia tidak menghubungi Munirah dan tidak pula memujuk gadis itu seperti yang diharap-harapkannya.Seharian Munirah melihat Rezza bersama-sama dengan rakan-rakan sekuliahnya tanpa mengendahkan rajuk hatinya.

            Hari ini 26 Ogos 2005.Jam menunjukkan ke angka lapan malam.Munirah yakin Rezza telah selamat sampai ke rumah neneknya di Besut Terengganu.Pada kebiasaanya,Rezza akan menghubunginya untuk memberitahu bahawa dia telah selamat sampai. Munirah menunggu panggilan daripada Rezza.

Malangnya sehingga ke jam sebelas malam panggilan daripada Rezza tidak kunjung tiba.Munirah tertidur dalam sendu yang panjang.Di dalam mimpinya Rezza menjelma dan tersenyum kepadanya.Wajahnya tenang sekali.Apabila Munirah cuba untuk menghampiri,dia semakin menjauh dan  perlahan-lahan menghilang ditelan kegelapan.

      Munirah terjaga daripada tidur lalu melangkah malas ke jendela.Tiupan angin malam menyegarkan tubuhnya yang dibasahi peluh akibat dari mimpi ngeri yang dialaminya.Ingatannya terhadap Rezza semakin kuat.Hatinya bergetar hebat.Jam di dinding berbunyi menandakan tepat jam dua pagi.Munirah tidak dapat melelapkan mata.

Mimpi yang di alaminya sebentar tadi amat mengganggu perasaannya.Dia duduk berteleku di sisi katil sambil memikirkan maksud mimpinya itu.Akhirnya, dia tertidur di sisi katil sambil memegang erat gambar Rezza di tangan kirinya.

     27 Ogos 2005,pagi Sabtu yang dingin.Hujan baru sahaja berhenti.Usai solat Fardhu Subuh,Munirah bergegas ke pondok telefon yang berhampiran dengan asrama puteri untuk menghubungi Rezza.Setelah mendail berulang kali, Munirah mula berputus asa.Panggilannya tidak dijawab.Munirah mengambil keputusan untuk menelefon ke rumah ibu Rezza malangnya dia  hanya dapat berbual dengan pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di situ kerana ibu Rezza telah ke luar negara.Munirah tiada pilihan melainkan menunggu sahaja panggilan daripada Rezza.

         Petang itu, di rumah keluarganya, Munirah rasa tidak sedap hati.Dia merasa begitu kesal kerana tidak bertolak ansur dengan Rezza.Sekiranya dia tidak berkeras hati dengan keputusannya dan membiarkan Rezza terus menanti .sudah pasti Rezza tidak berjauh hati dengannya.Dia benar-benar berharap  dapat meluahkannya.

          Biar Rezza tahu betapa hatinya jua melagukan irama  yang sama seperti  Rezza.Satu rasa, satu cinta.Cuma dia belum bersedia untuk menyatakannya biarpun telah berkali-kali dipinta.Kini, dia benar-benar berharap agar Rezza segera pulang.Akan dia khabarkan segala isi hatinya yang tersimpan buat lelaki itu selama ini.

        Jam menunjukkan tepat ke angka lapan malam.Buletin Utama sedang ke udara.Tiada berita menarik yang disajikan.Berita mengenai kehilangan seorang gadis dari Sabah memancing minat Munirah.Gadis itu dipercayai dilarikan oleh teman lelakinya yang mendakwa dirinya sebagai berketurunan di raja.

Ibu gadis tersebut merayu agar anaknya pulang ke pangkuan keluarga .Pihak polis sedang cuba mengesan lelaki terbabit.Lelaki tersebut disyaki memperdaya gadis itu untuk meninggalkan keluarganya dan kemudiannya akan dibawa bertemu dengan keluarganya yang kononya berdarah di raja.

Apakah Rezza juga dilarikan?atau diculik dan dijadikan tebusan, dan kemudiannya di bunuh?Hati Munirah gundah-gulana memikirkan kemungkinan itu.Ah..mana mungkin Rezza diculik?.Dia anak jantan yang kuat dan mampu menentang musuh yang datang.Dia cuba menyedapkan hatinya.Munirah cuba menghubungi Rezza .Taliannya tidak bernada.Sekali lagi Munirah tertanya-tanya,mengapa begitu sukar untuk menghubungi Rezza?.Album lama yang merakan kenangan zaman persekolahannya dengan Rezza dikeluarkan.Satu - persatu lembarannya diselak.Munirah membelek gambar-gambar itu.

“Janganlah Rezza..kita tak sukalah..”Munirah menolak tubuh Rezza yang lebih tinggi darinya itu. Rezza menarik-narik rambut Munirah yang ditocang dua.

“Macam tanduk kerbau..haha”Usik Rezza.

“Suka hati kitalah..” Munirah mencemik.Saat itu, lensa kamera telah terarah kepada mereka.

  Gambar kelas sewaktu mereka di tingkatan lima Maju itu akhirnya menjadi kenangan detik pertemuan dua jiwa.Gambar yang merakamkan keakraban persahabatan mereka sejak lima tahun lalu dan telah menjadi saksi ketlusan persahabatn mereka.Munirah melihat gambar sewaktu mereka dipertemukan semula setelah terpisah lama.

        Gambar sewaktu minggu suai kenal pelajar baru di universiti  di mana ketika itu  dia dan Rezza berada dalam satu kumpulan.Seperti dahulu,Rezza tetap berperwatan ceria dan senang didekati.Bezanya ketika itu, Rezza kelihatan sedikit kurus.Mungkin dia terlalu sibuk belajar dan tertekan dengan tanggungjawab berat lain yang dipikulnya.

            Tanggal 28 Ogos 2005,pagi Khamis yang suram.Bacaan Yaasin berkumandang di ruang tamu rumah mewah itu.Di tengah-tengah ruang itu,terdampar sekujur tubuh yang kaku diselubungi kain selimut putih.Buat kali terakhir, Munirah menatap wajah insan  yang disayanginya itu.Rezza kini berada di hadapan matanya.Tetapi kali ini, Rezza tidak ketawa dan bergurau senda dengannya seperti selalu.Barulah Munirah mengerti mengapa bicaranya sering diiringi sendu.Munirah juga faham kini mengapa dia seakan dapat melihat lambaian sayu di ruangan mata Rezza di saat akhir sebelum pemergiannya.


Cuma satu yang Munirah tak mampu untuk mengerti, mengapa dia yang terakhir untuk mengetahuinya.Rezza menghidap barah darah!.Dia begitu menyesal kerana membiarkan Rezza terus berteka-teki tentang perasaanya terhadap lelaki itu.Dia menyesal membiarkan Rezza menunggunya begitu lama.Hingga ke hujung nyawanya..dan kini..ungkapan itu hanya dapat dizahirkan di hatinya..Rezzaa Irah cintakanmu!Hanya jeritan itu yang berkumandang di ruangan hatinya saat ini. Akan terus disimpan dan dikunci di ruang paling dalam di sudut hatinya…

Pohon Angsana ini menjadi saksi.Saksi pertemuan dua jiwa.Munirah terpaku.Lama memerhati.Sepasang merpati dua sejoli melakar kenangan bersama.Mengingatkannya pada masa silamnya.Rindunya datang lagi.Hatinya dipagut sayu.Mutiara jernih meluncur deras menuruni pipi mulusnya.Kenangan itu terus bermain-main di fikirannya.

Bangku itu..bukan lagi tempat dia dan Rezza menghabiskan masa bersama.Hanya bangku itu yang masih terus kekal di situ.Rezza tentunya sedang berbahagia di alam yang jauh bersama-sama dengan mereka yang terpilih.Munirah tetap menanti, adakah hari esok seceria hari-hari silam yang pernah dilaluinya.Munirah hanya mampu menghadiahkan bacaan Al-Fatihah dan yaasin buat arwah.Semoga dia berbahagia di sana.

Novel bertajuk “Biar kusimpan Hatimu” karya Saidatul Erma itu begitu menyentuh perasaannya.Ketabahan Munirah menghadapi hari-hari yang mendatang setelah kehilangan insan tercinta amat mengharukan.Sayangnya cinta yang mekar di hati mereka tak kesampaian.Akihirnya mereka dipisahkan oleh maut.Rezza terlalu menyayangi Munirah dan tidak mahu melukai gadis itu sehingga sanggup merahsiakan tentang penyakit yang dihidapinya.

Sehingga di saat-saat akhir sebelum pemergiannya Rezza masih berahsia .Panggilan telefon daripada Munirah langsung tidak dijawab olehnya.Takdir menentukan tiada pertemuan terakhir buat mereka sehinggalah pada 28 Ogos 2005 apabila sekujur tubuh milik Rezza terbujur kaku diiringi bacaan Yaasin oleh saudara mara dan sahabat handai.

Dalila memungut tisu-tisu yang berteraburan di atas katilnya.Rakan sebiliknya telah lama melayari bahtera mimpi.Dalila mencapai teelfon bimbit miliknya.Dia mendail nombor Haziq.Sejurus kemudian, kedengaran suara garau milik Haziq dihujung talian.Suaranya seakan orang yang baru terjaga dari lena.

Mereka berbual ringkas sebelum Dalila mengakhiri perbualan dengan ucapan selamat malam .Jam ketika itu telah pun menunjukkan ke angka satu pagi.Esok adalah hari minggu.Sudah menjadi kebiasaannya tidur agak lewat menjelang hari minggu untuk mengulangkaji pelajaran.Tetapi malam itu Dalila mencuri masa untuk menghabiskan bacaan novelnya.

Hatinya amat terkesan akibat daripada bacaan novel hasil tulisan Saidatul Erma itu.Seolah terasa dia yang sedang berada di tempat Munirah .Dalila menarik selimut dan memadamkan lampu.Namun lenanya diganggu mimpi tentang novel yang dibacanya.Dia sedang mengalami peristiwa yang sama seperti yang dialami oleh Munirah.

Bezanya watak Rezza didukung oleh Haziq dan didalam mimpinya Haziq terlantar di hospital dengan wayar yang berselirat di seluruh tubuhnya.Sayu hatinya melihat insan yang disayanginya terlantar dalam keadaan yang begitu menyedihkan itu.Wajahnya pucat lesi.

Ketika menziarahi Haziq di hospital terbongkarlah rahsia tentang hubungan Haziq dengan gadis yang bernama Irena.Wajah Irena seakan pernah hadir dalam hidupnya sebelum ini tetapi Dalila tidak dapat mengingatinya.Irena terlebih dahulu mengetahui berita tentang Haziq dimasukkan ke hospital.Haziq juga telah memilih Irena setelah Dalila memaksanya untuk memilih antara mereka berdua.

Dia yang kecewa dengan pilihan Haziq telah membawa diri ke daerah asing.Namun, beberapa hari selepas itu, dia menerima berita mengenai pemergian Haziq ke Rahmatullah.Dia amat terkilan kerana tidak berada di sisi Haziq di saat-saat-saat akhirnya..

“Lila..Lila,bangun…….!!" Terasa tubuhnya digoncang oleh seseorang.Perlahan-lahan dia cuba untuk membuka kelopak matanya.

“Hishh..apa ni,renjis-renjis air kat muka aku ni.?" Dalila merasa geram setelah mendapati wajahnya dibasahi air.

“Bangunlah cepat..Haziq dah tercegat kat bawah tu..” Balas rakan sebiliknya itu.

“Hah,dia nak apa Min?" Soal Dalila kebingungan.

“Manalah aku tahu." Balas Jasmin bersahaja.

     Dalila bergerak malas menuju ke bilik mandi.Setelah bersiap ala kadar, dia menemui Haziq .Dalila tidak ceria seperti selalu. Haziq dapat mengesan kemurungan di wajah insan yang disayanginya itu.Dalila begitu terganggu.Layar ingatannya masih merakam setiap bait mimpinya semalam sehinggakan dia tidak mendengar suara Haziq yang menyapa mesra.Haziq tertanya-tanya akan perlakuan Dalila yang agak ganjil hari ini.Dalila tidakbanyak berbicara seperti selalu tatkala mereka bertemu.Apakah yang telah mencuri keceriaan milik Dalila selama ini agaknya.

“Hari ini ada perjumpaan untuk kelab Kaunseling dan Kerjaya.Ni kenapa monyok saja ni?" Soal Haziq.

“Tak adalah.Biasa saja." Balas Dalila sambil berjalan beriringan dengan Haziq ke bilik Kaunseling dan Kerjaya.

            Mesyuarat yang bertujuan untuk membincangkan program bersempena Hari Kemerdekaan itu berlangsung dengan lancar.Sepanjang mensyuarat berlangsung Dalila hanya menyepikan diri.Tidak seperti kebiasaannya apabila dia sering mencurahkan idea-idea bernasnya.Suasana bilik mesyuarat tidak semeriah selalu apabila Hakimi, pengerusi Kelab Kaunseling dan kerjaya tiada pesaing untuk berhujah.

Ternyata setiap ahli kelab tertanya-tanya berkenaan perilaku Dalila yang berbeza daripada lazimnya.Haziq yang duduk bersebelahan dengannya juga tidak diendahkannya.Entah apa yang mengganggu fikirannya ketika itu.

          Dataran ilmu dipenuhi dengan para pelajar yang sedang menunggu bas untuk pulang ke asrama setelah tamat kelas masing-masing.Dalila duduk berseorang di bangku yang disediakan di bawah sepohon Angsana.Daun-daun Angsana berguguran ditiup angina petang.Dia duduk  di  bangku yang betul-betul menghadap ke arah Perpustakaan Sultanah Zanariah.


Gelagat para pelajar yang turun naik ke perpustakaan itu menarik perhatiannya.Pelajar kolej kedua pula sedang beratur untuk menaiki bas di tempat yang disediakan.Tidak jauh dari tempatnya duduk kelihatan sekumpulan pelajar perempuan yang sedang berbual-bual,ada di antara mereka yang turut membaca akhbar.

        Hari ini dia mahu menikmati suasana di kampus sepuas-puasnya.Esok,cuti semester akan bermula.Pagi-pagi esok, dia dan Jasmin akan bertolak ke Pudu Raya untuk pulang ke rumah masing-masing.Tak sabar rasa hatinya untuk bertemu dengan keluarga tercinta.Sebenarnya, dia sedang menanti kehadiran Haziq.Jejaka yang telah berjaya menambat hatinya.

Pertemuan ini adalah yang terakhir sebelum masing-masing pulang ke pangkuan keluarga yang telah ditinggalkan sekian lama.Rembang petang menghangatkan tubuhnya.Sekuntum Bunga Angsanaa gugur ditiup angin lalu terdampar lemah di atas buku-buku miliknya.

“Apa keputusan Lila?" Soalan Haziq itu benar-benar menjerat dirinya.

“Lila tak tahu, Ziq.Biarlah masa yang menentukan." Entah megapa jawapan itu yang terkeluar dari mulutnya sedangkan hatinya sudah merangka kata putus.

“Sudah tiga tahun ,Lila.Tak cukup lagikah tempoh itu?" Haziq seolah tidak mahu mengerti.

“Berilah Lila sedikit masa lagi." Balasnya meminta simpati.

“Berapa lama lagi?.Setahun,dua tahu, atau sepuluh tahun lagi?” Haziq terasa seperti kesabarannya diperbudak-budakkan.

“Lila tak minta lama.Cukuplah sehingga selepas penghabisan cuti semester ini.Sewaktu pertemuan kita nanti akan Lila berikan jawapan yang Ziq nantikan..” Balas Dalila dengan penuh keyakinan.

“Jawapan yang Ziq nantikan..? Ziq harap jawapan yang benar-benar Ziq nantikan.Jangan pula nanti Lila membuang Ziq selepas ini." Haziq terus meninggalkan Dalila bersama-sama Bunga Angsana yang berguguran jatuh ke bumi.

           Kelas Pendidikan Islam yang dihadirinya amat membosankan.Hanya jasadnya sahaja yang ada di situ tetapi fikirannya jauh melayang memikirkan pertemuannya dengan Dalila yang bakal berlangsung petang ini.Azmin di sebelah sudah beberapa kali menyikunya.Sahabatnya itu sudah berkali-kali menguap mendengarkan celoteh Dr Raziah.

Kalau padi katakan padi..Haziq teringat pada pepatah lama.Wajah Dalila mula bermain di tubir matanya.Sejak pagi dia mencari-cari kelibat Dalila di kampus namun wajahnya tidak kunjung tiba.Rakan sebiliknya memberitahu bahawa Dalila akan pulang petang ini.

           Haziq menunggu Dalila di tempat yang dijanjikan.Di sebuah bangku bawah Pohon Angsana ,betul-betul bertentangan dengan Perpustakaan Sultanah Zanariah yang sering menjadi saksi pertemuan mereka.Jam menunjukkan tepat ke pukul satu tengahari.Biasanya Dalila tidak pernah lewat.Hatinya dipagut resah.

Apakah Dalila sudah membuangnya dari hatinya?Tiba-tiba telefonnya berbunyi.Panggilan itu adalah panggilan yang telah membunuh rindunya terhadap Dalila.Sekaligus merenggut kasih sayangnya terhadap gadis itu.Dia tergamam sendiri.Dia sendiri tidak tahu apakah perasaannya kini.

“Dalila terlibat dalam kemalangan.Dia ditahan di wad.Keadaannya kritikal..”Ujar Jasmin dalam nada sendu yang masih bersisa.

“Betulkah apa yang kau cakap ini?.Kenapa boleh jadi macam ni?”Haziq masih ragu dengan berita yang baru diterimanya itu.

“Betul,Ziq.Lila kemalangan.Bas bertembung dengan kontena.Keadaannya teruk,Ziq." Jasmin sudah menangis teresak-esak.

         Haziq terus memecut keretanya ke HUKM.Tubuh Dalila yang berselirat dengan wayar ditenung sayu.Wajahnya pucat.Tubuhnya kelihatan amat lemah dan dipenuhi luka.Hatinya sedih melihat orang yang disayanginya berkeadaan begitu.Wajah ibu dan bapa Dalila kelihatan sugul.

        Seharian menunggu,Dalila masih tidak sedarkan diri.Menjelang subuh keesokkan harinya, Haziq menerima panggilan daripada Jasmin, membawa berita yang telah memusnahkan semua impiannya.Dalila telah kembali ke Rahmatullah.Perginya yang tak mungkin kembali lagi.

Masih terbayang pertemuan terakhir mereka sehari sebelum masing-masing pulang untuk menemui keluarga masing-masing.Pertemuan di bawah Pohon Angsana menyaksikan kenangan terindah yang bersemi di sepanjang perhubungan mereka.Haziq tidak dapat menahan sebak.

Dalila pergi dalam usia yang masih muda.Jasad Dalila akan dikebumikan di tanah kelahirannya.Haziq masih di bangku itu.Mengabadikan kenangan sepanjang bersama Dalila menelusiri hari sebagai pelajar di Universiti itu.Dalila adalah pelajar cemerlang di kelasnya.Sayangnya dia tidak sempat untuk  menghadiri majlis konvokesyennya sendiri.

“Berilah Lila sedikit masa lagi."

“Berapa lama lagi?.Setahun,dua tahu, atau sepuluh tahun lagi?”

“Lila tak minta lama.Cukuplah sehingga selepas penghabisan cuti semester ini.Sewaktu pertemuan kita nanti akan Lila berikan jawapan yang Ziq nantikan..”

“Jawapan yang Ziq nantikan..? Ziq harap jawapan yang benar-benar Ziq nantikan.Jangan pula nanti Lila membuang Ziq selepas ini..”

            Perbualan mereka sehari sebelum masing-masing pulang ke rumah masih terngiang-ngiang di telinganya.Air matanya mengalir laju.Patutlah Dalila memintanya agar memberikan sedikit masa.Patutlah Dalila berkelakuan ganjil semenjak akhir-akihir ini.Kini barulah Haziq faham. Terngiang-ngiang ayat terakhir yang keluar dari mulut Dalila yang menyatakan bahawa dia akan memberikan jawapan yang Haziq nantikan selama ini sewaktu pertemuan mereka nanti.

       Kini, jawapan yang Haziq nantikan telah berada di hadapan matanya.Dalila tidak menolaknya.Tidak jua menerimanya.Dalila tidak membuangnya seperti yang pernah dikatakan oleh Haziq tetapi, Dalila telah pergi meninggalkannya.Meninggalkan dirinya untuk mengharungi hari-harinya yang mendatang bersendirian tanpa dirinya di sisi.Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama –sama dengan roh orang-orang yang terpilih.Al-Fatihah..dan Pohon Angsana akan terus menjadi saksi janji kasih mereka.

“Ziq…” Jasmin menyapa.

“Ada apa Min?” Haziq menoleh kepada Jasmin yang memanggilnya.

“Ini…pemberian Lila…” Jasmin menghulur bungkusan berwarna biru itu ke tangannya.

“Apa ni?” Soalnya.




Jasmin menjungkit bahu. Lalu melangkah longlai meninggalkan dia bersendirian di situ.Bungkusan berwarna biru itu ditatapnya.Tulisan yang tertulis di atasnya di baca perlahan.”Buat Haziq.”.Dia membuka bungkusan yang diberi.Sebuah novel karya Saidatul Erna bertajuk ”Angsana jadi saksi” Haziq mendongak.Benar. dia kini berada di bawah Pohon Angsana yang selama ini menjadi saksi..Saksi cinta mereka..Dan tiba-tiba dia dapat merasai  Dalila sedang memerhatikannya dari jauh…nun jauh di sana.


by:


2 comments:

  1. Bestt :D Suke jalan cite die. . Jemput bce sy pnye jgak :D http://shapurplegirl.blogspot.com/2013/11/encik-pencuri-payung-aka-encik-pencuri.html

    BalasPadam
  2. TQ Sha.Tak perasan komen. K, t Belle dtg baca :)

    BalasPadam